Sunday, November 28

Suatu pagi.....

Assalamu'alaikum...

Sudah berkurun lama aku tidak menjenguk sahabat baikku. Suatu ketika dulu, sahabat ini sering menjadi tempat untuk aku berbual mesra dan tempat meluahkan segala isi hatiku. Seandainya hati dan perasaan mampu berkata-kata, pasti ia akan memperingatkan aku akan erti persahabatan yang sebenar. Semestinya ia kecewa dengan sikapku ini, bisik hatiku. Sahabat yang baik itu akan selalu memperingatkan sahabat yang lain sekiranya mereka terlupa atau terleka.

Namun, aku seolah-olah tidak mahu mengakui kewujudan sahabatku ini lagi. Maafkan aku. Bukan aku sengaja, bukan aku lupa, bukan aku tidak mengenalimu, tetapi aku dileka dan dilalaikan dengan nikmat dunia yang sementara. Dengan imanku yang sering jatuh merudum dan bangkitnya hanya seketika, tidak teringat akan aku pada sahabat yang suatu ketika dulu sering mengingatkan aku sekiranya aku dibuai nikmat palsu. Mulai saat ini aku akan berusaha sentiasa ingat padamu wahai sahabatku dan secara langsung dapat membuatkan aku sentiasa ingat padaMu Yang Satu. Semoga dirimu sentiasa dilindungi oleh rahmatNya. InsyaAllah. Aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu. Dirimu dan aku, akan tetap bersahabat hingga ke akhir noktah kehidupan.

Manusia (aku) seringkali melakukan kesilapan. Akan tetapi bolehkah didefinasikan sebagai kesilapan sekiranya ia dilakukan berulang-kali ? Apakah definasi yang seakan-akan hampir tepat yang boleh didefinasikan untuk keadaan ini ? Runsing.

Allah itu Maha Pengampun. Tetapi, kebanyakan manusia itu sombong dan bongkak. Kerana apa ? Kerana tidak mahu memohon keampunan kepadaNya. Telah diberitahu bahawa Dia akan mengampun dosa hamba-hambaNya sekiranya mereka bertaubat dan memohon ampun melainkan hanya satu, iaitu dosa mempersekutukan Allah. Namun, manusia itu tetap sombong dan angkuh. Apakah ertinya, selepas memohon ampun untuk kali yang pertama, dan tidak lama selepas itu, memohon ampun untuk kali yang kedua dan seterusnya, untuk kesilapan atau kesalahan yang SAMA. Berulangkali.

Fikirkan, apakah yang tidak kena dengan diri sendiri sehinggakan sanggup untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama berulangkali ? Adakah kerana makannya ? Adakah kerana amalnya ? Adakah kerana hatinya ? Wallahu'alam. Hanya empunya badan yang mampu menjawabnya. Sekiranya empunya badan tidak mampu menjawab persoalan ini, sucikan hati, kembalilah ke jalanNya.


رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


" Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami ini dan tidak mengasihani kami, maka pastilah kami akan tergolong daripada orang yang rugi. "

[ Al-'Araf : 23 ]


Thursday, January 7

Oh Allah...


" Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata....tepuk dada, tanya iman. "

Setiap makhluk di bumi bertuah ini diuji dengan dugaan dan cabaran hidup yang berbeza-beza. Namun tujuannya tetap sama. Mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Pencipta, Al-Khaliq.

Ada yang diuji dengan kesenangan duniawi.
Ada yang diuji dengan kesusahan hidup.
Ada yang diuji perihal keutuhan hati.
Ada yang diuji dengan kelaparan.
Ada yang diuji dengan kesakitan.
Bermacam-macam ujian yang diberikan kepada makhlukNya.

" Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. " [Al-Baqarah : 155-157]

Sesetengah hambaNya menganggap kesenangan itu ujian dan begitu juga sebaliknya. Terpulang kepada setiap individu untuk mengkategorikan setiap yang hadir dalam kehidupan seharian itu sama ada ujian atau tidak.

Untuk apa ujian-ujian tersebut ?

Tidak lain dan tidak bukan, untuk mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Ilahi.

" Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?.
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. " [Al-Ankabut : 2-3]



" Ya Allahu Ya Rabbi, aku hambaMu. Aku lemah tak berdaya. Engkau berikanlah aku kekuatan, Engkau berikanlah aku ketenangan. Agar dapat aku tempuhi segala macam dugaan dan cabaranMu ini dengan keimanan. Berikanlah aku cahayaMu agar dapat menerangi kegelapanku Ya Allah. Oh Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, dengarkanlah rintihan hambaMu ini. "