Showing posts with label Cerekaliti. Show all posts
Showing posts with label Cerekaliti. Show all posts

Monday, June 22

Episod 06 : Sabar...

"Nanti awak teman saya lunch di kafe ya, boleh tak ?"

Dia mendapat SMS dari si dia. Langsung hati dia berdegup kencang kerana saat yang dinantikan selama ini akan tiba. Dia pun bersetuju dengan pelawaan si dia dan terus membalas SMS tersebut.

"InsyaAllah, boleh tapi jam berapa ?", balas dia.

Dia mendapat balasan SMS daripada si dia.


"1215 pm" balas si dia pula.

"Ok baik.InsyaAllah jumpa di kafe nanti", dia membalas SMS si dia untuk kali terakhir sebelum bertemu.


Jam 1215 tengah hari di kafe.


"Assalamu'alaikum, sudah lama menunggu ? Maaf lewat sedikit", lontaran salam daripada si dia kepada dia.

"Wa'alaikumussalam, tak mengapa", jawab dia pula.

Di kafe, dia dan si dia ramah berbual sambil menikmati hidangan nasi campur. Dia tidak henti-henti bertanya akan keadaan si dia berkenaan kehilangan si dia selama ini dari pandangan mata dia. Si dia pun menjelaskan perihal keadaannya selama ketiadaannya di kuliah mahupun di pusat pengajian.


Dalam hati dia penuh rasa syukur yang amat sangat dengan pertemuan itu. Hari dan saat yang dinantikan dia telah tiba dan dia tidak sia-siakan saat yang tiba itu dan memanfaatkan sebaik-baiknya.


Yakin dan redha dengan kehendakNYA, dia terus bersabar menanti pertemuan dengan si dia dan berkat kesabaran itu, akhirnya dia dapat bertemu si dia pada hari yang amat bermakna itu. "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas"



Semenjak pertemuan itu, boleh dikatakan setiap hari dia dan si dia akan bertemu untuk keluar bersama sama ada tengah hari, pagi, siang mahupun malam. Indahnya ukhwah yang terjalin antara dia dan si dia.

Friday, April 3

Episod 05 : Yang dinanti ....

Hari ini dia ternampak si dia semasa perjalanan pulang dari kelas. Dia begitu terkejut melihatkan keadaan si dia pada masa itu.

" Patutlah selama ini aku tak nampak si dia ", bisik hati dia.

Lantas timbul banyak persoalan dalam fikiran dia.

" Kenapa si dia tidak mahu aku tahu mengenai hal ini. Sama ada si dia terlupa untuk memberitahu aku atau pun sengaja tidak mahu memberitahu ? "

" Kenapa si dia hendak menyorokkan hal ini daripada aku ? "

" Kenapa si dia tidak pernah fikir akan aku bahawa aku ambil berat terhadapnya ? "

Banyak persoalan ' Kenapa ? ' bermain di minda dia.

Dia menarik nafas panjang, beristighfar. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat depan mata insan yang dinanti-nantikan, syukur padaNya. Dia tidak mahu tergesa-gesa mendapatkan si dia.

" Mungkin ada sebabnya kenapa si dia tidak memberitahu aku hal itu. ", bisik hati dia beranggapan yang baik.

Buat masa ini, dia tidak mahu mengganggu si dia. Biarlah si dia sendiri yang akan menceritakan segala-galanya pada dia bila mana si dia sudah bersedia untuk memberitahu. Dan dia pun bukan insan yang suka kepada paksaan untuk mendapatkan sesuatu. Dia selalu berdoa kepadaNya moga diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang kepada si dia. Alhamdulillah, walau begitu keadaan si dia, dia amat bersyukur kerana masih dipertemukan dengan si dia.

Moga hari-hari mendatang akan lebih baik untuk si dia.

" Ya Allah, berilah kekuatan, ketenangan, kesihatan kepada si dia mengharungi hari-hari yang berliku dalam hidupnya. ", doa dia dalam hati.

Thursday, March 26

Episod 04 : Pertemuan singkat

Seringkali dia teringat akan si dia kerna sudah lama tidak bersua.

Malam itu, sedang dia khusyuk membeli barang-barang di sebuah pasaraya, terlihat kelibat si dia menolak trolinya. Tidak dapat dibayangkan perasaan dia apabila si dia kelihatan di depan mata. Lalu, dia pergi mendapatkan si dia dan setibanya di tempat di mana dia terlihat akan si dia, si dia tidak lagi kelihatan. Pelik rasanya di hati dia memikirkan bagaimana si dia boleh hilang daridapda pandangan dalam sekelip mata. Namun, dia tidak berputus asa dan berlari-lari anak serata pasaraya tersebut demi mencari si dia yang sudah lama dirindui. Setelah hampir seluruh sudut pasaraya di jejaki, namun masih tidak ketemu jasad yang dicari, si dia. Hati dia rasa hancur kerana peluang bertemu si dia tidak menjadi kenyataan. Perasaan dia yang tadinya riang tidak terkata kini telah bertukar hiba dan duka. Terlalu dalam perasaan rindu pada si dia. Lalu, terlintas difikiran dia apakah dosa yang telah dilakukan sehinggakan Tuhan menghukum dengan menghadirkan perpisahan antara dia dan si dia.

Teringat rangkap lagu nasyid kumpulan Brothers:

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjiNya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihNya

Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah gelita hadirlah cahaya


Tiba-tiba terdengar kokokkan ayam menandakan waktu fajar telah hampir tiba menyebabkan dia terjaga dari lena. Lafaz istighfar diucapkan sebaik sahaja tersedar dar lamunan. Rupanya dia termimpikan pertemuan singkat dengan si dia. Hancur hati, hiba perasaan bila mana pertemuan itu hanya berlaku di alam maya. Namun, jauh di sudut hati dia perasaan rindu sedikit terubat bila mana si dia hadir dalam lamunan lenanya.

Pertanyaan ke manakah si dia menghilang diri terus bermain-main dalam benak fikiran dia. Apakah si dia masih ingat hubungan yang telah terjalin erat dengannya ? Apakah si dia tidak mengetahui bahawa dia aman mengharapkan pertemuan dengan si dia ? Apakah masih ada harapan untuk dia bertemu dengan si dia lagi ? Semuanya terus menjadi tanda tanya.

" Oh si dia, pulanglah segera", kata hati dia.

Monday, March 9

Cerekaliti ?

Apa itu Cerekaliti ?

Kali ini sahaja aku singgah sebentar di blog untuk mengemaskini sesuatu. (Sahaja aku.... macam niat nak solatlah pula). Bukan ada apa-apa yang hendak diceritakan tetapi hanya untuk menerangkan sesuatu.

Cerekaliti. Kalau di Goooglekan perkataan ini, memang takkan wujud perkataan ini melainkan anda hanya akan jumpa perkataan ini di blog tuahbumihijau. Masakan tidak akan jumpa di tempat lain kerana aku yang mencipta perkataan ini sendiri.

Cerekaliti. Pada definisi aku, cerekaliti itu aku definisi sebagai gabungan antara cereka dan realiti. Maka, wujudlah perkataan cerekaliti itu dalam kamus hidup aku dan barangkali juga dalam kamus hidup anda yang sedang membaca. (Walaupun aku tahu tiada siapa yang membaca blog aku ini :[ ).

Tujuannya adalah untuk mengkategorikan tulisan-tulisan aku yang berkonsepkan cereka dan realiti. Bagaimana boleh cereka dan realiti itu wujud dalam satu cerita ? Cereka itu bermaksud cerita rekaan manakala realiti itu pula adalah sesuatu yang nyata, nyata dalam erti kata bukan rekaan semata-mata.

Tulisan-tulisan aku yang berkonsep cerekaliti ini adalah kisah cereka aku sendiri dan aku selitkan kisah-kisah benar yang terjadi di sekeliling aku. Pada masa yang sama, aku akan cuba menjadikan tulisan ini bermanfaat bukan saja untuk aku, tetapi untuk pembaca-pembaca juga. (Walaupun tahu tiada pembaca, tapi nak juga sebut pasal pembaca ).

Dari situ, bermulalah kisah cerekalitiku. Selamat membaca. (Ada pembaca kah ?).


Tuesday, February 24

Episod 03 : Kerinduan...

Sudah lebih hampir sebulan dia tidak bertemu dengan si dia mahupun terserempak. Rindu dia kepada si dia semakin membuak-buak di dalam qalbu. Masakan tidak rindu kerana sebelum ini si dialah yang sentiasa berada di sisi acap kali dia berada dalam masalah duniawi ataupun ukhrawi. Si dialah yang menaikkan semangat dia bila mana hampir-hampir sahaja dia berputus asa. Bukan sahaja ketika di timpa masalah, tetapi di saat dia memerlukan si dia, si dia pasti akan muncul. Begitu indahnya ukhwah yang terjalin atas niat ikhlas berukhwah. Ukhwah yang terjalin atas niat menghubungkan silaturrahim keranaMu.

Dia masih ingat lagi suatu ketika dulu, ketika pertama kali bertemu dengan si dia. Dia sangat tertarik dengan sifat dan peribadi si dia. Sifatnya yang penyabar, sopan santun dan berbudi pekerti malah air mukanya yang sentiasa bersinar-sinar kilauan bak permata membuatkan dia sentiasa berasa tenang dan senang tatkala memandang si dia apatah lagi tika berada di sisi. Bukan mudah mendapat sahabat seperti si dia, kata hati dia. Barangkali si dia terlalu sibuk untuk bertemu dia. Dia tidak pernah lupa akan kata hikmah daripada Saidina Ali yang si dia tuliskan saat mula menjadi sahabat :

Sesungguhnya saudaramu yang jujur ialah yang selalu bersamamu, yang bersedia mengorbankan dirinya untuk dirimu. Dan orang yang apabila zaman berganti, tidak memutuskan hubungan denganmu, sekalipun bercerai denganmu, rasa persahabatan tetap untukmu


Monday, February 2

Episod 02 : Terima kasih sahabat...

Malam itu, dia menghadiri satu majlis bersama rakan-rakan yang lain. Secara kebetulan, si dia juga hadir ke majlis tersebut bersama rakan-rakannya. Dia berasa amat senang hati melihatkan kelibat si dia hadir pada majlis itu. Sungguh dia tidak sangka akan bertemu dengan si dia lagi dalam majlis itu.

Di majlis itu, dia dan si dia melakukan hal masing-masing bersama rakan-rakan. Mungkin kerana si dia tidak menyedari kehadiran dia di majlis itu, lantas si dia tidak bertemu dan menyapa dia. Dia beranggapan barangkali si dia ada agenda tersendiri tika kehadirannya di majlis itu, maka dia juga tidak pergi bertemu dan menyapa si dia.

Aktiviti di majlis itu berlangsung dengan lancar dan berjalan dengan baik. Majlis yang dimulai dengan bacaan Al-Quran bertaranum dihadiri ramai sahabat-sahabat tuan rumah. Ketika dalam kesibukan melakukan agenda masing-masing, dia tidak sedar yang mana dia telah melakukan satu kesalahan walaupun pada anggapan dia, kesalahan itu adalah perkara biasa yang dilakukan.

Setelah tamat majlis itu, si dia datang kepada dia dan bertanya khabar. Dia amat terkejut dan teruja kerana si dia datang kepadanya memandangkan dia beranggapan si dia tidak menyedari kehadiran dia di majlis itu. Si dia pun memberitahu bahawa telah menyedari kehadiran dia di majlis itu sejak awal majlis lagi. Lebih terkejut lagi, si dia telah perasan yang dia telah melakukan kesalahan. Si dia lah yang menegur kesalahan dia bila mana si dia datang dan bertanya khabar pada awalnya.

Barangkali mungkin dia akan terguris hati bila mana menerima teguran, namun cara dan adab si dia menegur membuatkan dia dapat menerima dengan senang hati dan minda yang terbuka. Lantaran itu, barulah dia menyedari yang mana kebiasaannya itu adalah satu kesalahan walaupun ianya kecil pada pandangan dia. Dalam pertemuan antara dia dan si dia yang dimulakan dengan bertanya khabar, secara tidak sedar si dia mampu untuk menyelitkan satu cerita menarik bagaimana Rasulullah SAW menegur isteri baginda, Siti Aisyah.

Pada suatu hari, Siti Aisyah ummul mukminin memasak sup untuk Rasulullah SAW. Entah macam mana terlalu tekun memasak, sehinggakan termasuk lebih garam dalam sup tersebut. Akan tetapi Siti Aisyah tidak perasan sup itu terlebih garam. Apabila sup sudah siap dimasak, Siti Aisyah pun memanggil Rasulullah SAW untuk makan bersama.

Selepas Siti Aisyah menyedokkan sup ke dalam mangkuk, Rasulullah SAW pun menghirup sup tersebut. Rasululah SAW pun tersenyum pada Siti Aisyah.Baginda memikirkan cara yang baik untuk menegur masakan isterinya itu seperti biasa dengan cara qudwatun hasanah. Selepas itu, dia pun berkata pada isterinya itu: "Wahai Aisyah, adakah kamu masih ingat sewaktu kita masih pengantin baru?"

Siti Aisyah mengangguk.

"Ingat lagikah kamu semasa kita makan bersama sambil saling suap-menyuap antara satu sama lain?" Tanya Rasulullah SAW lagi.

"Ya, saya masih ingat lagi" jawab Siti Aisyah sambil tersenyum.

"Mahukah engkau jika kita mengulangi kembali seperti itu?"

Siti Aisyah tersenyum senang. Diapun menghampiri Rasulullah SAW. "Biarlah aku yang menyuapmu dulu", kata Siti Aisyah.

"Dulu, engkau telah menyuapku dahulu. Apa kata kali ini aku yang menyuapmu dulu?" Cadang Rasulullah SAW.

Siti Aisyah bersetuju dan menghulurkan sudu kepada Rasulullah SAW.

Selepas baginda menyuapkan sup ke mulut Siti Aisyah, barulah Siti Aisyah sedar bahawa sup yang dimasaknya tadi terlebih masin. Lalu Siti Aisyah pun meminta maaf pada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tersenyum dan berkata, "Tak mengapalah. Aku cuma mahu menegur sahaja bahawa sup itu masin. Bukannya aku marah.."

Begitu berhikmah sekali cara Rasulullah SAW menegur isteri baginda.


Cerita menarik itu membuatkan hati dia mudah untuk menerima teguran daripada si dia. Selesai saja kisah Nabi SAW menegur isterinya, si dia terus ke agenda utamanya untuk menegur dia akan kesalahan yang dilakukannya di majlis itu. Sungguh terharu rasanya bila mana dia mendapat teguran daripada si dia.

Zaman ini, bukan mudah untuk bertemu sahabat yang benar-benar bersahabat. Yang benar-benar bersahabat dalam erti kata sahabat yang sentiasa bersama kita tidak kira susah atau pun senang. Yang benar-benar bersahabat adalah sahabat yang sentiasa mahukan yang terbaik bukan sahaja untuk dirinya seorang tetapi untuk diri rakan-rakannya yang lain. Bertuah rasanya bagi sesiapa di kalangan kita yang mempunyai sahabat yang benar-benar bersahabat. Andainya anda mempunyai sahabat seperti ini, bersyukurlah kerana barangkali anda tidak mungkin akan bertemu dengan sahabat yang seperti ini jika sudah kehilangannya. Justeru, hargailah sahabat-sahabat anda sekalian.


Sebelum berakhir, renung, tenung dan fikirkan kata hikmah ini.

" Sahabat yang MENYATAKAN KEBAIKAN kita adalah sahabat yang BAIK, tetapi sahabat yang MENEGUR KESALAHAN kita adalah sahabat yang LEBIH BAIK "

Tuesday, January 20

Episod 01 : Bermulanya....dia dan si dia...

Pagi itu dia bangkit mempersiapkan diri mengharungi hari yang bakal dilalui. Turunnya dari bangunan bertingkat, terus ke tempat yang dituju. Dalam perjalanan itu, dia terserempak dengan si dia sambil melontarkan senyuman dan sedikit lambaian tangan serta memberikan salam.

" Assalamu'alaikum... "

" Dari Abi Umarah AlBarra bin "Azib r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami dengan tujuh perkara ; menjenguk orang sakit, mengikuti jenazah, mendo'akan orang yang bersin, membantu yang lemah, menolong yang dizalimi orang, memberi salam, mengkabulkan permintaan seseorang ( yang memohon dengan memakai sumpah). - Muttafaqun 'Alaih -

Dia ke sini dan si dia ke situ. Mereka berjalan berlawanan arah tetapi tujuannya adalah sama. Masing-masing menjalankan tugas masing-masing.

Tengah hari itu, dia sekali lagi terserempak dengan si dia. Kali ini pada tempat dan tujuan yang sama. Putih bersih mukanya membuatkan dia berasa tenang menyaksikan kehebatan ciptaan Tuhan Yang Maha Agung.

Itulah kali terakhir dia melihat si dia. Dengan wajah yang tenang putih bersih, sejuk mata memandang ke arah si dia. Sejuk perut ibu si dia mengandungkannya. Maha SuciMu Ya Allah.

Dia meneruskan perjalanan hari itu dengan aktiviti biasa. Petangnya beriadah. Malamnya sedikit bersantai dan mengulangkaji pelajaran. Dan tiba masa untuk dia merebahkan badan, merehatkan minda untuk menghadapi hari seterusnya. Dan dia termenung berfikir.

" Adakah akan bertemu dengannya esok hari? "

Segala puji bagi Allah...
Selawat ke atas Nabi SAW...
Qul Ya Aiyuhal...
Qul Huallahu...
Qul A'uzubirabbilfalaq...
Qul A'uzubirabbinnas...
Bismikallahumma...
Assyhadu...
Selawat ke atas Nabi SAW...
Segala puji bagi Allah...