Di majlis itu, dia dan si dia melakukan hal masing-masing bersama rakan-rakan. Mungkin kerana si dia tidak menyedari kehadiran dia di majlis itu, lantas si dia tidak bertemu dan menyapa dia. Dia beranggapan barangkali si dia ada agenda tersendiri tika kehadirannya di majlis itu, maka dia juga tidak pergi bertemu dan menyapa si dia.
Aktiviti di majlis itu berlangsung dengan lancar dan berjalan dengan baik. Majlis yang dimulai dengan bacaan Al-Quran bertaranum dihadiri ramai sahabat-sahabat tuan rumah. Ketika dalam kesibukan melakukan agenda masing-masing, dia tidak sedar yang mana dia telah melakukan satu kesalahan walaupun pada anggapan dia, kesalahan itu adalah perkara biasa yang dilakukan.
Setelah tamat majlis itu, si dia datang kepada dia dan bertanya khabar. Dia amat terkejut dan teruja kerana si dia datang kepadanya memandangkan dia beranggapan si dia tidak menyedari kehadiran dia di majlis itu. Si dia pun memberitahu bahawa telah menyedari kehadiran dia di majlis itu sejak awal majlis lagi. Lebih terkejut lagi, si dia telah perasan yang dia telah melakukan kesalahan. Si dia lah yang menegur kesalahan dia bila mana si dia datang dan bertanya khabar pada awalnya.
Barangkali mungkin dia akan terguris hati bila mana menerima teguran, namun cara dan adab si dia menegur membuatkan dia dapat menerima dengan senang hati dan minda yang terbuka. Lantaran itu, barulah dia menyedari yang mana kebiasaannya itu adalah satu kesalahan walaupun ianya kecil pada pandangan dia. Dalam pertemuan antara dia dan si dia yang dimulakan dengan bertanya khabar, secara tidak sedar si dia mampu untuk menyelitkan satu cerita menarik bagaimana Rasulullah SAW menegur isteri baginda, Siti Aisyah.
Pada suatu hari, Siti Aisyah ummul mukminin memasak sup untuk Rasulullah SAW. Entah macam mana terlalu tekun memasak, sehinggakan termasuk lebih garam dalam sup tersebut. Akan tetapi Siti Aisyah tidak perasan sup itu terlebih garam. Apabila sup sudah siap dimasak, Siti Aisyah pun memanggil Rasulullah SAW untuk makan bersama.
Selepas Siti Aisyah menyedokkan sup ke dalam mangkuk, Rasulullah SAW pun menghirup sup tersebut. Rasululah SAW pun tersenyum pada Siti Aisyah.Baginda memikirkan cara yang baik untuk menegur masakan isterinya itu seperti biasa dengan cara qudwatun hasanah. Selepas itu, dia pun berkata pada isterinya itu: "Wahai Aisyah, adakah kamu masih ingat sewaktu kita masih pengantin baru?"
Siti Aisyah mengangguk.
"Ingat lagikah kamu semasa kita makan bersama sambil saling suap-menyuap antara satu sama lain?" Tanya Rasulullah SAW lagi.
"Ya, saya masih ingat lagi" jawab Siti Aisyah sambil tersenyum.
"Mahukah engkau jika kita mengulangi kembali seperti itu?"
Siti Aisyah tersenyum senang. Diapun menghampiri Rasulullah SAW. "Biarlah aku yang menyuapmu dulu", kata Siti Aisyah.
"Dulu, engkau telah menyuapku dahulu. Apa kata kali ini aku yang menyuapmu dulu?" Cadang Rasulullah SAW.
Siti Aisyah bersetuju dan menghulurkan sudu kepada Rasulullah SAW.
Selepas baginda menyuapkan sup ke mulut Siti Aisyah, barulah Siti Aisyah sedar bahawa sup yang dimasaknya tadi terlebih masin. Lalu Siti Aisyah pun meminta maaf pada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tersenyum dan berkata, "Tak mengapalah. Aku cuma mahu menegur sahaja bahawa sup itu masin. Bukannya aku marah.."
Begitu berhikmah sekali cara Rasulullah SAW menegur isteri baginda.
Cerita menarik itu membuatkan hati dia mudah untuk menerima teguran daripada si dia. Selesai saja kisah Nabi SAW menegur isterinya, si dia terus ke agenda utamanya untuk menegur dia akan kesalahan yang dilakukannya di majlis itu. Sungguh terharu rasanya bila mana dia mendapat teguran daripada si dia.
Zaman ini, bukan mudah untuk bertemu sahabat yang benar-benar bersahabat. Yang benar-benar bersahabat dalam erti kata sahabat yang sentiasa bersama kita tidak kira susah atau pun senang. Yang benar-benar bersahabat adalah sahabat yang sentiasa mahukan yang terbaik bukan sahaja untuk dirinya seorang tetapi untuk diri rakan-rakannya yang lain. Bertuah rasanya bagi sesiapa di kalangan kita yang mempunyai sahabat yang benar-benar bersahabat. Andainya anda mempunyai sahabat seperti ini, bersyukurlah kerana barangkali anda tidak mungkin akan bertemu dengan sahabat yang seperti ini jika sudah kehilangannya. Justeru, hargailah sahabat-sahabat anda sekalian.
Sebelum berakhir, renung, tenung dan fikirkan kata hikmah ini.
" Sahabat yang MENYATAKAN KEBAIKAN kita adalah sahabat yang BAIK, tetapi sahabat yang MENEGUR KESALAHAN kita adalah sahabat yang LEBIH BAIK "
2 comments:
jgn tny ape kesalahan yg dia lakukan...the writer wont answer a question like that or similar to that question...im sorry (amir raja lawak punye gaya)...slmt membace..
ape yg dia wat ek~
writer xmo kasi tau
Post a Comment