Kali ini aku akan bercerita lebih lanjut mengenai perjalanan percutianku ketika perayaan tahun baru cina.
Rancangan asalnya hendak berkunjung ke Tree Top Walk Sg. Sedim, kemudian dalam perjalanan pulang pada hari yang sama ingin singgah dan bermalam selama satu malam di rumah pak ndakku di Serdang, Bandar Baharu, Kedah. Hari kedua pula, dalam perjalanan pulang ingin singgah di Taman Perlindungan Burung Kuala Gula dan menziarahi keluarga angkatku di Kg. Sg. Pinang yang terletak kira-kira 30 minit dari Taman Perlindungan Burung Kuala Gula. Seterusnya berangkat pulang ke UTP.
Manusia itu bijak merancang, tetapi DIA jualah yang Maha Kuasa menentukan perjalanan kami. Apa yang kami rancang, tidak dapat kami sempurnakan. Hendak tahu ke manakah perlajanan kami? Sila teruskan membaca.
Perjalanan disertai oleh aku, Cupi dan Amir dengan menaiki motosikal masing-masing.
Hari pertama, seawal selepas subuh kami bersiap-siap untuk bertolak memulakan perjalanan. Mengambil sarapan yang cukup untuk memulakan perjalanan. Dengan mengenakan air panas dan beberapa keping roti, cukup bagi kami sebagai alas perut di waktu pagi untuk perjalanan kami.
Dengan Nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, perjalanan dari UTP bermula kira-kira pada jam 0815 dan kami masuk ke highway PLUS Tol Jelapang kira-kira jam 0900. Melalui highway seawal pagi ini, sudah banyak kenderaan yang menggunakan jalan ini untuk meneruskan perjalanan masing-masing ke utara semenanjung mahupun dari utara ke selatan semenanjung. Kabus yang hadir sebaik saja kami keluar melalui terowong berhampiran tol Jelapang membuatkan kami terasa sangat sejuk dan hampir membataskan pandangan kami. Namun, persiapan yang kami lakukan dengan memakai jaket dan sarung tangan membuatkan kami tidak berasa terlalu sejuk untuk meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, perjalanan kami melalui susur keluar tol Serdang-Bandar Baharu, seterusnya melalui Kulim High Tech Park dan tiba di Tree Top Walk Sg. Sedim kira-kira jam 1200. Di sini, terdapat aliran air sungai yang mengalir yang cantik dan sesuai untuk aktiviti keluarga atau pun bersama rakan-rakan. Kami tidak bercadang untuk mandi sungai dan meneruskan perjalanan ke tree top walk. Untuk keterangan lanjut mengenai destinasi ini, sila rujuk web ini.
Gambar 1 : Di pintu masuk, sungguh bergayanya mereka.
Gambar 2 : Subhanallah, cantik sungguh pemandangan sungai yang mengalir.
Gambar 3 : Wah, tingginya Amir di puncak. Walaupun lebih kurang 26000 mm, tapi memang tinggi. Bagi yang fobia pada tempat tinggi dinasihatkan tidak berada di sini.
Gambar 4 : Salah satu laluan sungai yang aku rasakan sangat dalam.
Selepas keluar dari tree top walk ini, rancangan kami seakan-akan menemui jalan perubahan. Ini disebabkan andaian yang kami akan berada di sini dalam tempoh masa yang agak lama. Namun, andaian kami itu salah sama sekali. Dalam perjalanan menuju ke motosikal kami, bermain dalam kepala fikiran kami hendak menuju ke destinasi yang lebih jauh iaitu Pulau Pinang. Salah seorang daripada kami mencadangkan Pulau Pinang sebagai destinasi seterusnya, dan kami yang lain seakan terpukau oleh cadangan itu. Kami pun setuju dengan cadangan untuk mengubah rancangan asal kami dan akhirnya disebabkan kesuntukan masa yang mana pada ketika itu telah menghampiri jam 1330, kami membuat keputusan untuk berjalan lebih jauh iaitu ke Perlis, ke rumah Cupi. Jika kami singgah di Pulau Pinang, kami tidak menjamin akan mendapat tempat menginap kerana rancangan asal kami adalah untuk bermalam di rumah pak ndakku. Untuk bermalam di rumah tumpangan ataupun hotel murahan, adalah tidak ada dalam fikiran kami. Diberitahu oleh Cupi, perjalanan ke rumahnya akan mengambil masa lebih kurang lima jam.
Setelah kami setuju untuk meneruskan perjalanan ke Perlis, kami singgah dahulu untuk makan tengah hari di nasi ayam periuk besar, di daerah Kulim. Apa itu nasi ayam periuk besar ? Maklumat selanjutnya boleh dirujuk di sini.
Selepas itu perjalanan diteruskan ke Perlis. Dalam perjalan ini, kami singgah di sebuah rumah Allah untuk menunai solat yang diimamkan oleh saudara Cupi.
Kami tiba di rumah Cupi di Beseri, Perlis ketika waktu menghampiri Maghrib. Sebelum itu, kami sempat singgah di rumah rakan kami di Kodiang, Kedah dengan tujuan berziarah. Kami bermalam dan makan malam di rumah Cupi dengan selesa. Terima kasih Cupi dan keluarga.
Keesokannya kami meneruskan percutian kami melawat tempat-tempat pelancongan di Perlis. Kali ini, kami tidak menunggang motosikal. Kami menaiki kereta yang dipandu sendiri oleh tuan rumah, Cupi. Tempat pertama yang kami tuju adalah ladang tebu. Penanaman tebu ini adalah khas ditanam untuk menghasilkan gula yang kita semua guna dalam kehidupan seharian. Kami sempat ke Padang Besar iaitu tempat membeli belah sempadan Siam. Barang-barang yang dijual boleh dikatakan agak murah. Kami hanya berjalan-jalan di situ dan tiada niat untuk membeli kerana ketiadaan wang. (Hahaha...sengkek-sengkek pun boleh cuti-cuti Malaysia lagi tu.). Perjalanan diteruskan lagi ke Gua Kelam, Perlis yang juga dikatakan sebagai Cave of the Darkness. Selepas itu, kami ke walimatul urus kakak kepada rakan kami di Kodiang, Kedah yang kami ziarahi hari sebelumnya dan meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis menikmati pemandangan di Jeti Kuala Perlis. Malamnya pula kami bersama ayah Cupi ke rumah saudaranya menghadiri majlis kesyukuran dan bacaan yassin.
Gambar 1 : Amir dengan bergaya berlatarbelakang ladang tebu.
Gambar 2 : Gua Kelam, Perlis.
Gambar 3 : Cantiknya bunga. Bunga telur. hehe.
Gambar 2 : Gua Kelam, Perlis.
Gambar 3 : Cantiknya bunga. Bunga telur. hehe.
Pada hari ketiga, selepas mengenakan lunch pada jam 0945, kami bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan pulang ke UTP. Kami bertolak dari rumah Cupi kira-kira jam 1030. Keadaan amat panas pada ketika ini membuatkan kami terasa bahangnya terik mentari. Alhamdulillah, kedinginan mula dirasai apabila kami telah menunggang 'kuda-kuda' kami. Sebelum itu, kami sempat singgah di tasik buatan berhampiran rumah Cupi. Meneruskan perjalanan melalui highway PLUS dan susur keluar melalui tol Gurun. Kami mengambil keputusan untuk melalui jalan dalam kerana ingin menikmati kehijauan pemandangan alam ciptaanNya. Memang 'dalam' sungguh jalan yang kami lalui sehinggakan melalui jalan di kawasan penanaman kepala sawit. Mulanya agak risau bagi kami kerana takut tersesat, dan Alhamdulillah kami tidak sesat cuma tidak sengaja mengikut jalan yang lebih panjang, sunyi dan banyak selekoh.
Perjalanan diteruskan melalui jalan dalam dan akhirnya kira-kira pada jam 1500 kami tiba di rumah pak ndakku. Mak ndak tiada di rumah kerana ada urusan kerja. Mujur, Alhamdulillah kami tiba awal sedikit kerana kalau kami tiba lewat sedikit, kemungkinan kami tidak dapat bertemu dengan pak ndak kerana pak ndak ingin membawa anak-anaknya keluar untuk mandi air sungai yang terletak kira-kira 15 minit dari rumahnya. Aku memang sengaja tidak mahu memberitahu kehadiran kami ke rumah pak ndak kerana tidak mahu mengganggu urusan perjalanan harian mereka. Setibanya di rumah pak ndak, kami merehatkan motosikal kami dan berjalan kaki menuju ke masjid berhampiran untuk solat dan diimamkan oleh saudara Cupi, sekali lagi. Selepas itu kami dihidangkan makanan tengah hari oleh pak ndak dan pak ndak keluar sebentar untuk menghantar anak-anaknya mandi di sungai berhampiran manakala kami berehat-rehat di rumah. Kami tidak berpeluang bertemu dengan mak ndak kerana mengejar masa. Dalam kira-kira jam 1700, kami ingin meneruskan perjalanan pulang dan singgah ke rumah keluarga abang iparku di Hutan Melintang. Akan tetapi, mungkin kerana doa mak ndak untuk bertemu dengan aku dan rakanku, tiba-tiba motosikal aku membuat masalah dan enjin tidak mahu berfungsi. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bermalam di rumah pak ndak sementara aku memperbaiki motosikalku. Malam itu, kami bertemu dengan pak ndak dan mak ndak sekeluarga. Malam itu aku berborak-borak dengan pak ndak dan mak ndak sehingga jam 0200 sementara Cupi dan Amir telah masuk tidur lebih awal kerana kepenatan.
Gambar 1 : Amir bergaya di pintu masuk tasik.
Gambar 2 : Motosikal juga nak bergambar berlatarbelakang tasik.
Gambar 2 : Motosikal juga nak bergambar berlatarbelakang tasik.
Gambar 1 : Aku sedang berusaha perbaiki motosikal.
Gambar 2 : Amir dengan 'motosikalnya'.
Gambar 3 : Bekal dari mak ndak.
Gambar 2 : Amir dengan 'motosikalnya'.
Gambar 3 : Bekal dari mak ndak.
Hari terakhir, kami bertolak pulang pada jam 0845 dari rumah pak ndak berbekalkan 'Doughnut Deli France' mak ndak. Kami mengikut jalan PLUS susur masuk Serdang-Bandar Baharu dan tiba di Ipoh kira-kira jam 1030. Kami meneruskan perjalanan ke rumah keluarga abang iparku dan tiba kira-kira jam 1400. Perjalanan yang lama diambil kerana kami telah dengan tidak sengaja mengikut jalan yang panjang. Alhamdulillah akhirnya kami tiba jua ke destinasi yang dituju. Kira-kira pada jam 1700, kami meneruskan perjalanan pulang ke UTP yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah melalui jalan dalam yang merentasi ladang penyemaian benih padi di Bota. Sebelum memulakan perjalanan, Cupi dan Amir terkejut kerana tayar motosikal mereka bocor kerana tercucuk paku. Mujur, tiada masalah timbul ketika dalam perjalanan kami ke Hutan Melintang. Kebocoran itu disedari ketika kami ingin bertolak pulang dari Hutan Melintang. Alhamdulillah persiapan yang kami lakukan dengan membawa alat dan perkakas yang berkaitan dengan urusan memperbaiki motosikal, memudahkan urusan kami untuk menyelesaikan masalah kebocoran tayar motosikal ini. Cupi tercucuk satu paku manakala Amir sebanyak dua paku. Alhamdulillah motosikalku tidak tercucuk dek paku.
Meneruskan perjalanan, kami tiba di UTP kira-kira jam 1830 dan hujan renyai-renyai sedikit sebanyak membuatkan kami kesejukan dan sedikit kuyup. Begitulah perjalanan kami ketika cuti tahun baru cina. Manusia hanya merancang, DIA yang menentukan. Moga silaturahim yang terbina antara kami, keluarga Cupi, keluarga pak ndak dan keluarga abang iparku akan terus kukuh dan diredhaiNya. Terima kasih Amir, Cupi dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Sesungguhnya wahai manusia, Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-semulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa. ~ Al-Hujarat : 13 ~
Sesengkek-sengkek kami pun, perbelanjaan yang digunakan untuk petrol sahaja tidak mencecah RM40 selama perjalanan kami tersebut. Makan tengah hari di nasi ayam periuk besar pula hanya RM5.50. Lain-lainnya adalah jasa tuan-tuan rumah yang kami ziarahi. Terima kasih sekali lagi. Ukhwah itu indah jika bertemu dan berpisah hanya keranaNya.
4 comments:
best2..esp top tree walk (^_^)v
dengan ini saya mengumumkan..... angugerah riders terbaik jatuh kepada............
......
..............
.....................
saudara aiman!
kuang kuang kuang
ape ko merepek ni sp3d2...mane ade anuregah riders terbaik...anugerah model terbaik ade la kot..coz byk gmbr ko berposing dlm post nie...kuang kuang kuang...
mcm best jk nasik ayam periok besar ya..nyam2
Post a Comment