Sunday, November 28

Suatu pagi.....

Assalamu'alaikum...

Sudah berkurun lama aku tidak menjenguk sahabat baikku. Suatu ketika dulu, sahabat ini sering menjadi tempat untuk aku berbual mesra dan tempat meluahkan segala isi hatiku. Seandainya hati dan perasaan mampu berkata-kata, pasti ia akan memperingatkan aku akan erti persahabatan yang sebenar. Semestinya ia kecewa dengan sikapku ini, bisik hatiku. Sahabat yang baik itu akan selalu memperingatkan sahabat yang lain sekiranya mereka terlupa atau terleka.

Namun, aku seolah-olah tidak mahu mengakui kewujudan sahabatku ini lagi. Maafkan aku. Bukan aku sengaja, bukan aku lupa, bukan aku tidak mengenalimu, tetapi aku dileka dan dilalaikan dengan nikmat dunia yang sementara. Dengan imanku yang sering jatuh merudum dan bangkitnya hanya seketika, tidak teringat akan aku pada sahabat yang suatu ketika dulu sering mengingatkan aku sekiranya aku dibuai nikmat palsu. Mulai saat ini aku akan berusaha sentiasa ingat padamu wahai sahabatku dan secara langsung dapat membuatkan aku sentiasa ingat padaMu Yang Satu. Semoga dirimu sentiasa dilindungi oleh rahmatNya. InsyaAllah. Aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu. Dirimu dan aku, akan tetap bersahabat hingga ke akhir noktah kehidupan.

Manusia (aku) seringkali melakukan kesilapan. Akan tetapi bolehkah didefinasikan sebagai kesilapan sekiranya ia dilakukan berulang-kali ? Apakah definasi yang seakan-akan hampir tepat yang boleh didefinasikan untuk keadaan ini ? Runsing.

Allah itu Maha Pengampun. Tetapi, kebanyakan manusia itu sombong dan bongkak. Kerana apa ? Kerana tidak mahu memohon keampunan kepadaNya. Telah diberitahu bahawa Dia akan mengampun dosa hamba-hambaNya sekiranya mereka bertaubat dan memohon ampun melainkan hanya satu, iaitu dosa mempersekutukan Allah. Namun, manusia itu tetap sombong dan angkuh. Apakah ertinya, selepas memohon ampun untuk kali yang pertama, dan tidak lama selepas itu, memohon ampun untuk kali yang kedua dan seterusnya, untuk kesilapan atau kesalahan yang SAMA. Berulangkali.

Fikirkan, apakah yang tidak kena dengan diri sendiri sehinggakan sanggup untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama berulangkali ? Adakah kerana makannya ? Adakah kerana amalnya ? Adakah kerana hatinya ? Wallahu'alam. Hanya empunya badan yang mampu menjawabnya. Sekiranya empunya badan tidak mampu menjawab persoalan ini, sucikan hati, kembalilah ke jalanNya.


رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


" Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami ini dan tidak mengasihani kami, maka pastilah kami akan tergolong daripada orang yang rugi. "

[ Al-'Araf : 23 ]


No comments: