Sunday, November 28

Suatu pagi.....

Assalamu'alaikum...

Sudah berkurun lama aku tidak menjenguk sahabat baikku. Suatu ketika dulu, sahabat ini sering menjadi tempat untuk aku berbual mesra dan tempat meluahkan segala isi hatiku. Seandainya hati dan perasaan mampu berkata-kata, pasti ia akan memperingatkan aku akan erti persahabatan yang sebenar. Semestinya ia kecewa dengan sikapku ini, bisik hatiku. Sahabat yang baik itu akan selalu memperingatkan sahabat yang lain sekiranya mereka terlupa atau terleka.

Namun, aku seolah-olah tidak mahu mengakui kewujudan sahabatku ini lagi. Maafkan aku. Bukan aku sengaja, bukan aku lupa, bukan aku tidak mengenalimu, tetapi aku dileka dan dilalaikan dengan nikmat dunia yang sementara. Dengan imanku yang sering jatuh merudum dan bangkitnya hanya seketika, tidak teringat akan aku pada sahabat yang suatu ketika dulu sering mengingatkan aku sekiranya aku dibuai nikmat palsu. Mulai saat ini aku akan berusaha sentiasa ingat padamu wahai sahabatku dan secara langsung dapat membuatkan aku sentiasa ingat padaMu Yang Satu. Semoga dirimu sentiasa dilindungi oleh rahmatNya. InsyaAllah. Aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu. Dirimu dan aku, akan tetap bersahabat hingga ke akhir noktah kehidupan.

Manusia (aku) seringkali melakukan kesilapan. Akan tetapi bolehkah didefinasikan sebagai kesilapan sekiranya ia dilakukan berulang-kali ? Apakah definasi yang seakan-akan hampir tepat yang boleh didefinasikan untuk keadaan ini ? Runsing.

Allah itu Maha Pengampun. Tetapi, kebanyakan manusia itu sombong dan bongkak. Kerana apa ? Kerana tidak mahu memohon keampunan kepadaNya. Telah diberitahu bahawa Dia akan mengampun dosa hamba-hambaNya sekiranya mereka bertaubat dan memohon ampun melainkan hanya satu, iaitu dosa mempersekutukan Allah. Namun, manusia itu tetap sombong dan angkuh. Apakah ertinya, selepas memohon ampun untuk kali yang pertama, dan tidak lama selepas itu, memohon ampun untuk kali yang kedua dan seterusnya, untuk kesilapan atau kesalahan yang SAMA. Berulangkali.

Fikirkan, apakah yang tidak kena dengan diri sendiri sehinggakan sanggup untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama berulangkali ? Adakah kerana makannya ? Adakah kerana amalnya ? Adakah kerana hatinya ? Wallahu'alam. Hanya empunya badan yang mampu menjawabnya. Sekiranya empunya badan tidak mampu menjawab persoalan ini, sucikan hati, kembalilah ke jalanNya.


رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


" Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami ini dan tidak mengasihani kami, maka pastilah kami akan tergolong daripada orang yang rugi. "

[ Al-'Araf : 23 ]


Thursday, January 7

Oh Allah...


" Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata....tepuk dada, tanya iman. "

Setiap makhluk di bumi bertuah ini diuji dengan dugaan dan cabaran hidup yang berbeza-beza. Namun tujuannya tetap sama. Mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Pencipta, Al-Khaliq.

Ada yang diuji dengan kesenangan duniawi.
Ada yang diuji dengan kesusahan hidup.
Ada yang diuji perihal keutuhan hati.
Ada yang diuji dengan kelaparan.
Ada yang diuji dengan kesakitan.
Bermacam-macam ujian yang diberikan kepada makhlukNya.

" Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. " [Al-Baqarah : 155-157]

Sesetengah hambaNya menganggap kesenangan itu ujian dan begitu juga sebaliknya. Terpulang kepada setiap individu untuk mengkategorikan setiap yang hadir dalam kehidupan seharian itu sama ada ujian atau tidak.

Untuk apa ujian-ujian tersebut ?

Tidak lain dan tidak bukan, untuk mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Ilahi.

" Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?.
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. " [Al-Ankabut : 2-3]



" Ya Allahu Ya Rabbi, aku hambaMu. Aku lemah tak berdaya. Engkau berikanlah aku kekuatan, Engkau berikanlah aku ketenangan. Agar dapat aku tempuhi segala macam dugaan dan cabaranMu ini dengan keimanan. Berikanlah aku cahayaMu agar dapat menerangi kegelapanku Ya Allah. Oh Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, dengarkanlah rintihan hambaMu ini. "

Monday, September 28

Puasa ganti vs Puasa sunat Syawal

Pejam celik dah beberapa hari berlalunya bulan Syawal. Tetamu datang dan pergi dari rumah ke rumah yang lain. Syawal, mulanya hari untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan ketika Ramadhan yang lalu bagi yang tidak cukup berpuasa penuh dan Syawal juga peluang untuk umat manusia berebut - rebut untuk berpuasa sunat 6 hari. 

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

Mengenai puasa sunat Syawal dan puasa ganti, yang mana patut didahulukan ? Ramai umat manusia terkadang keliru yang mana patut didahulukan. Kadang - kadang aku pun keliru. Ada yang mengatakan boleh dilakukan sekali (niat sekali puasa ganti dan puasa sunat), ada pula yang mengatakan puasa ganti dulu dan ada pula yang mengatakan sebaliknya. Di sini aku nak berkongsi maklumat yang aku baca, dan aku percayai, tulisan dari sumber yang aku percayai. Untuk keterangan lanjut sila klik di sini . Mudah - mudahan ada manfaatnya untuk kita semua. InsyaAllah.

Sunday, September 6

Nak kata apa ? Nak tulis apa ?

Alhamdulillah, kerna aku berupaya untuk mengupdate blog ini walaupun aku tak tahu apakah yang bakal aku coretkan dalam tulisan kali ini.

Masa berlalu dengan pantas dan pejam celik bangun tidur. ( Apa aku merepek ni ?! )

Pejam celik aku dah pun graduated. Sejak tamat belajar, banyak cerita yang berlaku di sekeliling aku, saat - saat suka ria, mahu pun duka ria ( eh, kalau berduka ada 'ria' jugak ke ? ). Namun semua peristiwa itu tidak sempat aku coretkan dek kerana komitmen kepada urusan yang lain.

Seringkali berusaha untuk mengemaskini blog ini supaya tidak kelihatan suram tetapi tiap kali menulis, pasti tidak pernah sempat untuk aku habiskan kerana idea secara tiba - tiba hilang dari fikiran dan kali ini aku berazam untuk menghabiskan juga tulisan untuk kali ini tidak kira apa sahaja yang akan terjadi. ( yang tidak baik jangan di ikut ya ? =) )

Banyak yang hendak dikongsikan. Antaranya buah anggur di halaman tepi rumah semakin menjadi, peristiwa kucing - kucing di rumah ( wah, kucing pun nak mencari populariti ye ? ), kegiatan harian semasa di kala menjadi pengganggur terhormat dan bermacam - macam lagi yang tak mampu ditulis.

Idea untuk mengemaskini cerekaliti bersiri aku juga seringkali menemui jalan buntu. Oh, tidak. Moga aku dapat mengemaskininya kelak. Wallahu'alam.

Moga tulisan ini menjadi pemangkin untuk aku terus menyambung karya ku. InsyaALLAH.

Sehingga bertemu lagi. Wassalam.


Monday, June 22

Episod 06 : Sabar...

"Nanti awak teman saya lunch di kafe ya, boleh tak ?"

Dia mendapat SMS dari si dia. Langsung hati dia berdegup kencang kerana saat yang dinantikan selama ini akan tiba. Dia pun bersetuju dengan pelawaan si dia dan terus membalas SMS tersebut.

"InsyaAllah, boleh tapi jam berapa ?", balas dia.

Dia mendapat balasan SMS daripada si dia.


"1215 pm" balas si dia pula.

"Ok baik.InsyaAllah jumpa di kafe nanti", dia membalas SMS si dia untuk kali terakhir sebelum bertemu.


Jam 1215 tengah hari di kafe.


"Assalamu'alaikum, sudah lama menunggu ? Maaf lewat sedikit", lontaran salam daripada si dia kepada dia.

"Wa'alaikumussalam, tak mengapa", jawab dia pula.

Di kafe, dia dan si dia ramah berbual sambil menikmati hidangan nasi campur. Dia tidak henti-henti bertanya akan keadaan si dia berkenaan kehilangan si dia selama ini dari pandangan mata dia. Si dia pun menjelaskan perihal keadaannya selama ketiadaannya di kuliah mahupun di pusat pengajian.


Dalam hati dia penuh rasa syukur yang amat sangat dengan pertemuan itu. Hari dan saat yang dinantikan dia telah tiba dan dia tidak sia-siakan saat yang tiba itu dan memanfaatkan sebaik-baiknya.


Yakin dan redha dengan kehendakNYA, dia terus bersabar menanti pertemuan dengan si dia dan berkat kesabaran itu, akhirnya dia dapat bertemu si dia pada hari yang amat bermakna itu. "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas"



Semenjak pertemuan itu, boleh dikatakan setiap hari dia dan si dia akan bertemu untuk keluar bersama sama ada tengah hari, pagi, siang mahupun malam. Indahnya ukhwah yang terjalin antara dia dan si dia.

Tuesday, May 5

Sepi membawa diri...

Sudah lama aku tidak bersuara di blog ini.....



Untuk seketika masa.....



Izinkan aku membawa diri ini.....




Moga apa yang dihajati, dimakbulkan....




Moga apa yang dicari, ditemui......




Mencari yang hilang....




Cahaya sinar hidup.....




Wallahu'alam....

Terima kasih semua....
Jaga diri....

Akhirul kalam......wassalamu'alaikum....



Friday, April 3

Episod 05 : Yang dinanti ....

Hari ini dia ternampak si dia semasa perjalanan pulang dari kelas. Dia begitu terkejut melihatkan keadaan si dia pada masa itu.

" Patutlah selama ini aku tak nampak si dia ", bisik hati dia.

Lantas timbul banyak persoalan dalam fikiran dia.

" Kenapa si dia tidak mahu aku tahu mengenai hal ini. Sama ada si dia terlupa untuk memberitahu aku atau pun sengaja tidak mahu memberitahu ? "

" Kenapa si dia hendak menyorokkan hal ini daripada aku ? "

" Kenapa si dia tidak pernah fikir akan aku bahawa aku ambil berat terhadapnya ? "

Banyak persoalan ' Kenapa ? ' bermain di minda dia.

Dia menarik nafas panjang, beristighfar. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat depan mata insan yang dinanti-nantikan, syukur padaNya. Dia tidak mahu tergesa-gesa mendapatkan si dia.

" Mungkin ada sebabnya kenapa si dia tidak memberitahu aku hal itu. ", bisik hati dia beranggapan yang baik.

Buat masa ini, dia tidak mahu mengganggu si dia. Biarlah si dia sendiri yang akan menceritakan segala-galanya pada dia bila mana si dia sudah bersedia untuk memberitahu. Dan dia pun bukan insan yang suka kepada paksaan untuk mendapatkan sesuatu. Dia selalu berdoa kepadaNya moga diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang kepada si dia. Alhamdulillah, walau begitu keadaan si dia, dia amat bersyukur kerana masih dipertemukan dengan si dia.

Moga hari-hari mendatang akan lebih baik untuk si dia.

" Ya Allah, berilah kekuatan, ketenangan, kesihatan kepada si dia mengharungi hari-hari yang berliku dalam hidupnya. ", doa dia dalam hati.