Saturday, March 28

Tu la...dogel bobona....

Aku dilahirkan pada hari pertama bulan Januari 1986. Mak kata mengikut kata doktor, aku bakal lahir pada pertengahan ke dua bulan Disember 1985. Tapi aku tak nak keluar dari perut mak sehingga tibalah hari pertama Januari tahun 1986. Mak kata aku degil sehingga tak mahu keluar dari perut seperti ramalan doktor. Tapi itu semua kerja Tuhan. Tapi.....degil sangatkah aku ini ?

Selepas dua tahun aku lahir ke dunia yang sementara ini, aku berpindah dari Paroi,Seremban ke kampung kerana abah berpindah tempat kerja. Tahun itu juga mak aku berhenti berkerja kerana adik aku dah lahir dan mak nak jaga kami adik-beradik depan mata kepala sendiri. Kampung aku tak jauh dari rumah asal di Seremban, cuma mengambil masa kurang satu jam perjalanan menaiki kereta. Kampung aku diberi nama Kampung Seberang Paya, terletak di dalam daerah Rembau, mukim Kota berhampiran salah satu pusat rekreasi di Negeri Sembilan iaitu Gunung Datuk. Nak tahu lebih lanjut pasal Gunung Datuk, sila klik sini. Nak tahu lagi ? Sila klik sini pula. Nak tahu lagi dan lagi ? Sila Gooooogle sendiri. =)



Aku, yang dogel.



Banyak perisitwa degil yang berlaku ketika aku menetap di kampung selama kurang empat tahun. Salah satu daripadanya, mak berpesan jangan bermain-main dengan ayam kerana nanti terkena penyakit ******. Dengan ketika itu aku yang berjiwa kanak-kanak yang nakal, suka bermain-main dengan ayam, menangkap ayam dan mengurung ayam, membuat perangkap ayam dan setelah tertangkap melepaskannya semula dan yang lain-lain lagi yang berkaitan dengan ayam. Abah aku ketika di kampung memang banyak membela ayam, malah ketika di Paroi pun pernah membela ayam dan reban ayam pun masih utuh kuat sehinggalah aku bersekolah rendah sehingga di tahun 6. (Kalau tak silap akulah). Reban ayam terpaksa diruntuhkan kerana ingin mengambil tapak reban tersebut untuk mengubahsuai rumah. Sejak aku mendapat sakit ****** itu, aku dah tak mahu bermain-main yang bukan-bukan lagi dengan si ayam. Hehehe. Degil sangatkah aku, tak mahu mendengar pesan kedua orang tua ?

Peristiwa lain ketika kampung. Emak ada berpesan lagi jangan bermain di kawasan rimbunan pokok buluh tapi aku berdegil juga. Ketika kecil, kawan-kawan aku bermain basikal dan aku terdengar bunyi yang pelik datang dari basikal tersebut. Aku lihat, terdapat pelepah buluh yang berwarna coklat muda diletakkan di basikal tersebut untuk menghasilkan bunyi yang mengaum. Aku pun inginkan bunyi yang sama pada basikalku lantas pergi ke rimbunan pokok buluh untuk mengambil pelepahnya. Mulanya memang seronok dapat bermain basikal sambil mengeluarkan bunyi yang mengaum itu sampaikan berpusing satu kampung pun tidak ada rasa penat. Maklumlah jiwa kanak-kanaklah katakan, jiwa yang sentiasa inginkan permainan yang menghiburkan. Tetapi malamnya pula, aku tak dapat tidur kerana telah terkena miang buluh. Hah, dah mak pesan jangan bermain di rimbunan pokok buluh tapi aku degil. Seluruh tanganku merah-merah terkena miang buluh. Itulah akibatnya dek kerana sifat degil aku. Degil sangatkah aku ?

Betul kata mak, sejak sebelum lahir aku memang degil.

Setelah lahir, bertambah-tambah pula kedegilan aku.


Malah, sehingga kini rasanya aku masih degil. Kawan-kawan banyak menasihati tapi masih berdegil tak mahu mendengar kata. Akibatnya diri aku sendiri yang merana. Memang padan muka aku. Tu la...dogel bobona.

Kenapa aku kata sehingga kini aku masih degil ? Mungkin kawan-kawan sendiri tahu apa sebabnya. Bagi yang tidak tahu, berharaplah moga aku akan ceritakan kisah kedegilan aku seterusnya di episod akan datang. =)

Untuk renungan dan tenungan kita semua :

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang membuat ibubapanya gembira (memberi keredhaan) maka sesungguhnya ia mendapat redha Allah s.w.t. Sesiapa yang menyakiti hati ibubapanya, maka sesungguhnya ia mendapat kebencian Allah s.w.t." (Riwayat Bukhari)

Thursday, March 26

Episod 04 : Pertemuan singkat

Seringkali dia teringat akan si dia kerna sudah lama tidak bersua.

Malam itu, sedang dia khusyuk membeli barang-barang di sebuah pasaraya, terlihat kelibat si dia menolak trolinya. Tidak dapat dibayangkan perasaan dia apabila si dia kelihatan di depan mata. Lalu, dia pergi mendapatkan si dia dan setibanya di tempat di mana dia terlihat akan si dia, si dia tidak lagi kelihatan. Pelik rasanya di hati dia memikirkan bagaimana si dia boleh hilang daridapda pandangan dalam sekelip mata. Namun, dia tidak berputus asa dan berlari-lari anak serata pasaraya tersebut demi mencari si dia yang sudah lama dirindui. Setelah hampir seluruh sudut pasaraya di jejaki, namun masih tidak ketemu jasad yang dicari, si dia. Hati dia rasa hancur kerana peluang bertemu si dia tidak menjadi kenyataan. Perasaan dia yang tadinya riang tidak terkata kini telah bertukar hiba dan duka. Terlalu dalam perasaan rindu pada si dia. Lalu, terlintas difikiran dia apakah dosa yang telah dilakukan sehinggakan Tuhan menghukum dengan menghadirkan perpisahan antara dia dan si dia.

Teringat rangkap lagu nasyid kumpulan Brothers:

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjiNya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihNya

Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah gelita hadirlah cahaya


Tiba-tiba terdengar kokokkan ayam menandakan waktu fajar telah hampir tiba menyebabkan dia terjaga dari lena. Lafaz istighfar diucapkan sebaik sahaja tersedar dar lamunan. Rupanya dia termimpikan pertemuan singkat dengan si dia. Hancur hati, hiba perasaan bila mana pertemuan itu hanya berlaku di alam maya. Namun, jauh di sudut hati dia perasaan rindu sedikit terubat bila mana si dia hadir dalam lamunan lenanya.

Pertanyaan ke manakah si dia menghilang diri terus bermain-main dalam benak fikiran dia. Apakah si dia masih ingat hubungan yang telah terjalin erat dengannya ? Apakah si dia tidak mengetahui bahawa dia aman mengharapkan pertemuan dengan si dia ? Apakah masih ada harapan untuk dia bertemu dengan si dia lagi ? Semuanya terus menjadi tanda tanya.

" Oh si dia, pulanglah segera", kata hati dia.

Monday, March 9

Cerekaliti ?

Apa itu Cerekaliti ?

Kali ini sahaja aku singgah sebentar di blog untuk mengemaskini sesuatu. (Sahaja aku.... macam niat nak solatlah pula). Bukan ada apa-apa yang hendak diceritakan tetapi hanya untuk menerangkan sesuatu.

Cerekaliti. Kalau di Goooglekan perkataan ini, memang takkan wujud perkataan ini melainkan anda hanya akan jumpa perkataan ini di blog tuahbumihijau. Masakan tidak akan jumpa di tempat lain kerana aku yang mencipta perkataan ini sendiri.

Cerekaliti. Pada definisi aku, cerekaliti itu aku definisi sebagai gabungan antara cereka dan realiti. Maka, wujudlah perkataan cerekaliti itu dalam kamus hidup aku dan barangkali juga dalam kamus hidup anda yang sedang membaca. (Walaupun aku tahu tiada siapa yang membaca blog aku ini :[ ).

Tujuannya adalah untuk mengkategorikan tulisan-tulisan aku yang berkonsepkan cereka dan realiti. Bagaimana boleh cereka dan realiti itu wujud dalam satu cerita ? Cereka itu bermaksud cerita rekaan manakala realiti itu pula adalah sesuatu yang nyata, nyata dalam erti kata bukan rekaan semata-mata.

Tulisan-tulisan aku yang berkonsep cerekaliti ini adalah kisah cereka aku sendiri dan aku selitkan kisah-kisah benar yang terjadi di sekeliling aku. Pada masa yang sama, aku akan cuba menjadikan tulisan ini bermanfaat bukan saja untuk aku, tetapi untuk pembaca-pembaca juga. (Walaupun tahu tiada pembaca, tapi nak juga sebut pasal pembaca ).

Dari situ, bermulalah kisah cerekalitiku. Selamat membaca. (Ada pembaca kah ?).


Sunday, March 1

Manusia boleh berubah...

Setelah lama tidak mendengar khabar berita, akhirnya aku dapat berhubung semula dengan sahabat yang telah sekian lama tidak mendengar khabar berita. Teringat kembali nostalgia ketika sama-sama menanam impian menuju ke arah visi yang sama.

Dahulunya sahabatku itu bukan seperti sekarang yang aku kenali. Beliau telah banyak berubah. Berubah ke arah yang lebih baik. Aku bersyukur padaMu kerana memberikan ruang kepada beliau untuk menjadi yang lebih baik. Mudah-mudahan ruang pembaikkan sahsiah diri sentiasa hadir dalam setiap ruang masa individu.

Kalau dulu beliau seorang yang begini tetapi kini beliau telah menjadi begitu. Aku tidak akan tulis secara terperinci perubahan yang berlaku ke atas beliau kerana itu tidak penting bagiku. Yang penting adalah, aku amat bersyukur dengan perubahan yang berlaku ke atasnya. Aku yakin dan pasti yang mana rakan-rakanku yang lain pun akan setuju dengan perubahan yang dialami beliau.

Sekarang, kata-katanya lebih bermotivasi. Bermotivasi untuk dirinya sendiri juga diri setiap orang di sekelilingnya. Aku bangga dan terharu dengan perubahanmu itu wahai sahabat. Moga kau akan terus menabur bakti untuk sahabat-sahabat yang lain. Terima kasih kerana bersahabat denganku. Terima kasih kerana mengingatiku pada saat aku lupa dan alpa. Bahkan kalau dulunya orang beranggapan bahawa aku lebih baik daripadamu, tetapi sekarang aku merasakan bahawa engkau adalah lebih dan lebih baik daripada aku. Aku tidak pernah dan terlintas untuk cemburu dengan perubahanmu itu. Aku tidak pernah rasa iri hati dengan sifatmu itu. Aku amat bersyukur di atas nimkatMu dengan kurniaan engkau sebagai sahabatku. Sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaanku bila mana mengetahui perubahanmu itu. Namun, aku akan terus berdoa, moga-moga tiap-tiap perubahanmu itu membawa kebaikan kepada dirimu khasnya dan sahabat-sahabat lain secara amnya.

Dan sesungguhnya ketika waktu dulu pun, aku tidak pernah menganggap diriku lebih baik daripadamu. Kerana engkau memang selalu lebih baik daripadaku. Terima kasih tidak terhingga buatmu sahabat.


Sahabat
Tika dulu engkau kecil
Tapi kini engkau telah besar

Sahabat
Tika dulu engkau dipandang rendah
Tapi sekarang engkau dipandang tinggi

Sahabat
Aku kagum dengan dirimu
Semenjak kita bertemu
Sehingga kita berpisah
Dan akhirnya kita bertemu kembali
Engkau tetap sahabat yang aku amat hormati

Sahabat
Dalam dirimu aku sedar adanya sinar
Sinar cahaya yang menerangi kehidupan
Yang menerangi malah meluaskan pemandangan
Moga cahaya itu akan sentiasa bercahaya
Bercahaya dan terus menerangi
Cahaya menyuluh kehidupan
Moga hidup ini sentiasa terang


*Entah apalah yang aku merepek dengan puisi "rojak" itu...

Tuesday, February 24

Episod 03 : Kerinduan...

Sudah lebih hampir sebulan dia tidak bertemu dengan si dia mahupun terserempak. Rindu dia kepada si dia semakin membuak-buak di dalam qalbu. Masakan tidak rindu kerana sebelum ini si dialah yang sentiasa berada di sisi acap kali dia berada dalam masalah duniawi ataupun ukhrawi. Si dialah yang menaikkan semangat dia bila mana hampir-hampir sahaja dia berputus asa. Bukan sahaja ketika di timpa masalah, tetapi di saat dia memerlukan si dia, si dia pasti akan muncul. Begitu indahnya ukhwah yang terjalin atas niat ikhlas berukhwah. Ukhwah yang terjalin atas niat menghubungkan silaturrahim keranaMu.

Dia masih ingat lagi suatu ketika dulu, ketika pertama kali bertemu dengan si dia. Dia sangat tertarik dengan sifat dan peribadi si dia. Sifatnya yang penyabar, sopan santun dan berbudi pekerti malah air mukanya yang sentiasa bersinar-sinar kilauan bak permata membuatkan dia sentiasa berasa tenang dan senang tatkala memandang si dia apatah lagi tika berada di sisi. Bukan mudah mendapat sahabat seperti si dia, kata hati dia. Barangkali si dia terlalu sibuk untuk bertemu dia. Dia tidak pernah lupa akan kata hikmah daripada Saidina Ali yang si dia tuliskan saat mula menjadi sahabat :

Sesungguhnya saudaramu yang jujur ialah yang selalu bersamamu, yang bersedia mengorbankan dirinya untuk dirimu. Dan orang yang apabila zaman berganti, tidak memutuskan hubungan denganmu, sekalipun bercerai denganmu, rasa persahabatan tetap untukmu


Wednesday, February 18

Kenapa tukar nama blog ?

" Kenapa tukar nama blog ? ", si A bertanya.

" Dulu bukan lagendabiru ? Sekarang dah tukar " , si B pula.

Ya, kenapa aku tukar nama ataupun alamat blog aku ? Ramai yang bertanya kenapa. Mungkin tulisan kali ini dapat memberi jawapan kepada yang bertanya mahupun yang merancang untuk bertanya.

Baik, dulu asal nama lagendabiru dan sekarang telah bertukar kepada tuahbumihijau. Kenapa daripada biru bertukar hijau ? ( Eh, macam Transformers pula boleh bertukar-tukar ). Pertukaran dari biru ke hijau itu tiadalah kena mengena dengan sebarang unsur parti di Malaysia mahupun di mana-mana kawasan bumi ini. Ada seorang sahabat beranggapan aku bertukar dari biru (BN) kepada hijau (PAS). Aku tekankan sekali lagi bahawa segala tulisan di blog ini tiada unsur mana-mana parti. Segalanya yang ditulis adalah kerana pendapat dan pandangan peribadi aku sahaja.

Kenapa aku pilih hijau ? Kerana pada pandangan aku, hijau itu memberikan aku ketenangan, juga kedamaian. Cuba sekali-sekala bila mana anda berada dalam keadaan yang tidak tenang dan merenung keindahan gunung-ganang, Subhanallah terasa begitu aman dan tenang hadir dalam diri. Begitulah kekuasaan Yang Maha Esa. Bukanlah maksud aku dengan melihat gunung-ganang itu serta merta diri akan menjadi tenang tapi merenung itu adalah dengan cara merenung dan memikirkan kehebatan pencipta gunung-ganang dan secara langsung aku akan mengingati Tuhan Maha Pencipta. Tuhan telah berfirman dalam Surah Ar-Raad ayat 28 yang kira-kira bermaksud " Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati itu akan menjadi tenang ". Itulah maksud tersiratnya.

Kenapa mesti hijau ? Bukanlah menjadi kewajipan untuk memilih warna hijau cuma hijau itu lebih dikaitkan dengan alam kehidupan. Sebab itu aku memilih hijau. Nak tahu kelebihan lanjut mengenai hijau, sila baca post aku yang sebelum ini.

Alasan lain pula, seketika dulu nama lagendabiru itu aku ambil bersempena motosikal Lagenda Yamaha aku berwarna biru dan aku ingin berkongsi pengalaman hidup sepanjang bersama Lagenda Yamaha biru aku. Tapi lama-kelamaan aku rasa, tulisan aku ini bukan berkisar kepada lagendabiru dan aku, tetapi lebih daripada itu. Sebab itu aku memilih tuahbumihijau yang mana tuah itu bersempena dengan maksud nama aku, Aiman, bumi pula tempat aku menetap sekarang ini dan hijau menggambarkan keindahan alam kehidupan. Dan sekarang motosikal aku sudah berwarna merah putih dan sekali lagi aku beritahu bahawa merah putih itu pula tiada kena mengena dengan mana-mana unsur parti.

Boleh terima tak penjelasan ini ? Aku juga berharap semoga kehidupan aku juga tak lupa kehidupan seluruh umat Islam sentiasa bertuah. =)

Oh, kampung halamanku...

Tuesday, February 17

Mari menuntut ilmu....

Dah lama rasanya tak kemaskini blog. Hari ini aku nak berkongsi sikit ilmu dari kuliah maghrib di Masjid An-Nur, UTP. Hari Isnin memang dijadualkan untuk kuliah hadith oleh Imam I Masjid An-Nur, iaitu Ustaz Dawi Cahyono Bin Nurdin. Disebabkan masalah internet yang 'tenat' di UTP, aku tak dapat nak kemaskini blog ini terlalu kerap.

Kuliah hadith ini berdasarkan Terjemah Bulughul Maram. Buku ini adalah himpunan antara hadith-hadith Sohih yang kebanyakannya berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang disampaikan oleh sahabat-sahabat baginda. Hadith sohih adalah hadith yang tiada keraguannya untuk kita semua amalkan.

Kuliah ini adalah kuliah mingguan sehinggalah khatam buku Terjemah Bulughul Maram dan diulang semula dari semester ke semester berikutnya.

Minggu ini dah masuk hadith ke-282 iaitu mengenai bab solat.

Hadith 282.
Hadith ini mengenai suruhan untuk memahami setiap ayat dari Al-Quran yang kita baca dalam solat. Ini telah diriwayatkan oleh sahabat baginda (lupe plak sape die) bahawa Rasulullah SAW di dalam solatnya apabila sampai pada ayat rahmat,maka baginda akan berhenti membaca seketika dan memohon rahmat dan apabila sampai pada ayat azab, baginda akan meminta perlindungan. Baginda biasa melakukan perkara ini dalam solat tahajud namun para 'ulama berpendapat tidak salah jika melakukannya dalam solat fardhu.
* Kena fahami makna-makna ayat Al-Quran, baru boleh amalkan sunnah Rasul ini. Kalau tak paham, tak tahulah mana satu ayat rahmat dan ayat azab. Hadith ini juga menunjukkan bahawa pentingnya dalam memahami makna isi Al-Quran.

Ustaz Dawi juga ada menyelitkan mengenai 7 sunnah Nabi yang amat dituntut untuk kita melakukan antaranya:
- Solat malam (Qiamullail)
- Tadabbur Al-Quran (Membaca dan memahami isi Al-Quran)
- Sedekah
- Solat Dhuha
- Selebihnya ustaz sendiri dah lupa. (Maka, aku pun tak tahu =P)


Hadith 287.
Hadith ini mengenai 7 anggota sujud iaitu:
1. Dahi.
2. Dua TELAPAK tangan.
3. Dua lutut.
4. Dua hujung telapak kaki.

Apabila sujud, dahi dan dua tapak tangan seakan-akan membentuk segitiga (dapat bayangkan?).
Jika salah satu dari anggota sujud ini tidak sempurna, maka sujud itu tidak sah dan secara langsungnya solat juga tidak sah.


Hadith 288.
Ketika sujud hendaklah merenggangkan kedua tangan (tidak rapat antara ketiak dan tangan) bagi lelaki.
Bagi perempuan pula dalam hadith lain disebutkan supaya merapatkannya.


Hadith 293.
Dalam rakaat ganjil, Rasulullah Saw tidak segera bangkit sehingga beliau duduk sempurna.
Contohnya dalam solat zuhur pada rakaat pertama, sebelum bangun untuk ke rakaat kedua, Rasulullah SAW duduk seketika sebelum berdiri untuk masuk ke rakaat kedua. Duduk seketika pada amalanku, aku duduk sepert duduk iftirash. Apakah itu duduk iftirash? Sila klik di sini.

Sekian dahulu perkongsian ilmu untuk kali ini. InsyaALLAH, mudah-mudahan memberi manfaat bukan sahaja untuk diriku tetapi untuk kalian juga. Jika terdapat kesalahan pada tulisan aku ini, diharap dapat diperbetulkan dan diberitahu kepadaku kerana aku juga insan biasa yang tidak sempurna, yang selalu melakukan kesalahan.

Rasulullah SAW bersabda," Sollu kama roaitumuni Usolli " yang kira-kira bermaksud," Solatlah kamu seperti mana aku bersolat ".


" Sampaikanlah walau satu ayat ".

Wallahu'alam.